VIP Dedaun Alam

Wednesday, November 25, 2009

Pokok Kari

Pokok Kari yang masih kecil

Nama Botani : Murraya Koeniggi
Famili : Rutaceae

Pengenalan

Pokok kari merupakan sejenis pokok renek yang berasal dari India dan Sri Lanka. Ia mempunyai ketinggian sehingga 6m. Pokok ini biasa ditanam di kawasan rumah kerana ia berguna sebagai rempah dalam masakan terutama masakan jenis kari. Daun kari mempunyai bau yang kuat dan mempunyai rasa agak pahit. Pokok ini mempunyai banyak kegunaan dalam masakan kaum India dan ia digunakan dalam pelbagai jenis masakan. Pokok ini agak lasak. Bunganya kecil berwarna putih kekuningan. Buahnya kecil berwarna hijau ketika muda dan bertukar menjadi ungu setelah matang. Ia membiak melalui biji benih, keratan batang dan anak yang tumbuh dari akarnya.

Kegunaan

Kulit pokok, daun dan akar pokok daun kari digunakan sebagai tonik. Di samping itu, daunnya juga berkesan dalam mengatasi masalah haid dan gonorea, menghilangkan rasa loya dan ‘morning sickness’ bagi wanita mengandung. Daun kari dan akarnya juga baik untuk peredaran darah dan boleh bertindak sebagai sedatif.

Daun kari mempunyai khasiat perubatan yang tinggi dan digunakan dengan meluas dalam perubatan kaum India. Ia dijadikan tonik herba untuk menguatkan perut dan meningkatkan keupayaannya serta mengatasi masalah penghadaman. Ia juga boleh digunakan sebagai laksatif lemah untuk mengatasi masalah sembelit. Jus daunnya yang segar dicampur dengan jus limau nipis digunakan untuk mengatasi masalah loya dan pening. Jus daun kari yang dicampur dengan madu juga dapat menjadi penawar kepada cirit birit dan buasir. Air rebusan kulit pokok kari yang kering boleh merawat diabetes. Amalan memakan daunnya setiap hari selama 3 bulan dikatakan dapat mencegah kencing manis dan obesiti yang disebabkan oleh faktor genetik. Buahnya yang didihkan dengan minyak kelapa hingga kehitaman, kemudian dihancurkan digunakan untuk merawat gigitan serangga dan haiwan berbisa. Daun pokok kari yang dilumatkan dan dijadikan pes boleh digunakan untuk merawat lebam dan bengkak.

No comments:

Post a Comment