VIP Dedaun Alam

Wednesday, November 25, 2009

Mempelas

Pokok Mempelas

Daun mempelas yang banyak kegunaannya


Nama Botani : Tetracera Indica Merr. / Tetracera scadens (L) Merr.
Nama Lain : Akar empelas, empelas
Famili : Dilleniaceae

Pengenalan

Mempelas merupakan sejenis tumbuhan jenis memanjat dan mempunyai batang berkayu. Ia tumbuh meliar di kawasan kampung, kebun, ladang, belukar dan hutan di Asia Tenggara. Daun mempelas bersaiz sederhana, berbentuk ringkas, tersusun secara berselang dengan permukaan daun yang kesat (rujuk foto). Batangnya juga bertekstur kesat dan boleh menyebabkan luka jika tersagat pada kulit. Bunga mempelas berwarna putih dengan kelopak kecil berwarna merah jambu dan berbau sangat wangi. Buah mempelas berbentuk seakan beri dan rasanya masam. Ia berwarna hijau ketika muda dan apabila masak ia berubah menjadi merah.

Kegunaan

Daunnya yang kesat digunakan oleh masyarakat Melayu sebagai bahan untuk melicinkan ukiran atau hasil kraftangan sebelum kewujudan kertas pasir. Daun ini berfungsi seperti kertas pasir. Ada juga masyarakat zaman dahulu yang menggunakan daun ini untuk melicinkan kuku. Serbuk yang dihasilkan dari daun mempelas kering untuk boleh digunakan untuk merawat radang. Pokok ini juga boleh menghasilkan salap untuk meredakan selesema. Daunnya yang dilumatkan pula digunakan untuk merawat sengatan serangga berbisa. Air rebusan daripada daun mempelas yang matang/tua boleh merawat darah tinggi. Buah mempelas yang masam boleh dijadikan cuka untuk masakan. Batangnya yang panjang dan agak kuat juga boleh dijadikan tali. Pada era sebelum adanya dapur gas, kayu api dari dahan pokok getah yang kering sering diikat menggunakan tali daripada pokok mempelas ini kerana kekuatannya.

No comments:

Post a Comment