Monday, November 16, 2009

Ketereh @ Gajus

Daun gajus yang sentiasa menghijau. Pucuknya menjadi pilihan penggemar ulaman

Nama Botani : Anacardium occidentale
Famili : Anacardiaceae
Nama Lain : Keterah, Janggus, Jambu golok, Jambu monyet.

Pengenalan

POKOK gajus berasal dari Brazil dan diperkenalkan oleh orang Portugis ke Melaka melalui Goa. Kini pokok gajus ditanam di sekitar negara tropika, terutama India. Tingginya mencapai kira-kira 10m hingga 12m dan silaranya rendang terbuka dengan daunnya yang sentiasa menghijau. Ketika muda daunnya berwarna merah keunguan. Bunganya banyak, kecil dan berwarna putih kemerahan

Buah gajus tergantung pada pedisel yang membesar seperti buah jambu, berwarna hijau bertukar menjadi kuning atau merah apabila masak, berjus dan rasanya kelat-kelat manis. Pedisel yang membesar seperti buah Jambu ini sering dianggap sebagai buah. Sebenarnya ia tidak berfungsi sebagai buah. Pokok gajus mudah dibiakkan dengan cara menyemai biji benih. Percambahan mengambil masa yang lama. Bagi mendapatkan klon terpilih, cantuman mata tunas boleh dilakukan. Penanamannya memerlukan tanah berpasir dan iklim panas bagi merangsang pengeluaran bunga dan buah.

Kegunaan

Biji gajus yang diproses adalah makanan kudapan popular. Selain itu, biji gajus penyedap rasa dalam pelbagai resipi masakan tradisional seperti nasi minyak, beriani dan dalca.

Biji gajus mengandungi khasiat makan yang tinggi. Dalam tiap-tiap 100 gram (g) bahagian yang boleh dimakan mengandungi: air 4.9 g, protein 21.2 g, lemak 0.2 g, karbohidrat 4.5 g, serat 6.4 g, kalsium 43 miligram (mg), fosforus 35 mg, ferum 7.7 mg, natrium 20 mg, kalium 410 mg, vitamin A 51 ug, vitamin B1 0.67 mg, vitamin B2 0.1 mg, niasin 2.5 mg vitamin C 60 mg.

Buahnya pula, dalam tiap-tiap 100 g bahagian yang boleh dimakan mengandungi: air 88.6 g, protein 0.6 g, lemak 0.2 mg, karbohidrat 9.5 g, serat 0.8 g, kalsium 3 mg, fosforus 15 mg, ferum 0.3 mg, natrium 9 mg, karotena 35 ug vitamin A 5 ug, vitamin B1 0.02 mg vitamin B2 0.03 mg. niasin 2.5 mg vitamin C 140 mg

Pucuk mudanya mengandungi: air 89.0g, protein 3.8 g, lemak 0.2 mg, karbohidrat 4.5 g, serat 1.5 g, kalsium 53 mg, fosforus 29 mg, ferum 3.7 mg, natrium 7 mg, karotena 2076 ug vitamin A 326 ug, vitamin B1 0.0 mg vitamin B2 1.19 mg. niasin 0.5 mg vitamin C 91 mg

2 comments:

  1. Salam kenal Bang Daud...
    Saya sedang cari-cari gambar pucuk daun jambu monyet nih, dan setelah searching di google maka sampailah saya ke sini:)...

    Blog yang asri sekali yah, berisi segala hal tentang dedaunan alam, sangat menarik!...Oya saya mohon izin mengambil gambar dedaunan nya ya Bang, untuk postingan juga:). Terima kasih Bang sebelumnya...

    ReplyDelete
  2. Salam Rita Susanti, terima kasih ya lawat blog saya. Ok, entri blog ni sememang utk info semua pembaca.

    ReplyDelete